PAS Terjerat Dalam Politik Kamikazee

Serang Menyerang, Maka Bermulalah Episod Kamikazee Dalam PAS
Share

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 bermula, nampaknya para pemimpin PAS sudah bersiap sedia untuk melakukan kamikazee apabila serang menyerang antara mereka berlaku ekoran kenyataan akan menggugurkan Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa sebagai calon parti.

Kedua mereka telah didakwa masuk dalam perangkap UMNO dan kerana itulah sanggup menyerang PAS. Terbaru menerusi pendedahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang terkenal dengan “heboh undi hantu” pada suatu ketika memberikan butiran telah berlaku “satu mesyuarat” pada bulan Ogos, yakni selepas sembahyang terawih telah berlangsung satu perbincangan.

Persoalannya, adakah menjadi kesalahan apabila Dr Hassan, Nasharudin dan tiga orang lagi pemimpin PAS bertemu dan berbincang dengan lain-lain orang yang bukan anggota parti PAS? Untuk apa Mustafa Ali marahkan sangat pemimpin tersebut kerana dalam kehidupan bermasyarakat, pertemuan dan interaksi dengan sesiapa pun akan berlaku, hatta dengan musuh politik.

Seperti kata pepatah lama, dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada juga kawan rapat selama-lamanya. Maka dalam hal itu, apakah lima bersaudara itu bertemu dalam satu perjumpaan dengan “musuh”nya harus dianggap sebagai satu dosa yang tidak boleh diampunkan oleh pucuk pimpinan PAS sedangkan Nasharudin dan Hasan Ali tetap memberikan komitmen untuk terus bersama dalam parti.

Dr Hassan menjadi sedikit keras apabila tidak bersetuju dengan perubahan yang berlaku dalam hala tuju parti dan beliau inginkah PAS terus kekal memperjuangkan “negara Islam.” Kemasukan beliau dalam PAS juga ada kaitan kuat dengan prinsip asal perjuangan sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu.

Hassan juga percaya sebahagian besar pemimpin yang berlatar belakangkan agama yang menubuhkan PAS adalah kerana ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, dan tidak sanggup membiarkan pentadbiran terus berkelukkan prinsip sekular. Pada mereka, meskipun sebuah model negara Islam tidak pernah diisytiharkan, sekurang-kurangnya mereka yakin akan lahirnya sebuah negara Islam di bumi Melayu yang bernama Malaysia.

Perubahan konsep perjuangan untuk melahirkan sebuah “negara berkebajikan” seperti dilontarkan oleh Presiden PAS, Haji Hadi Awang ketika muktamar PAS ke-57 enam bulan lalu jelas membuktikan parti itu sebenarnya telah masuk dalam “perangkap sekular” yang diperjuangkan oleh PKR dan DAP. Konsep negara berkebajikan walau apapun penekanan yang diberikan oleh Haji Hadi akan tetap membawa sinonim dengan rangka falsafah Barat dan mendekati dengan jiwa sosialisme.

DAP memperjuangkan sosialisme demokratik, manakala PKR dengan sosialime Islam. Sosialisme Islam dambaan PKR sebenarnya tidak kuat dan jelas, kerana tidak semua ahli PKR adalah beragama Islam kerana parti itu memberikan tempat kepada bukan Islam. Jadi, hanyalah ditempelkan agar menampakkan ada nilai-nilai Islam menerusi PKR kerana Anwar bimbang akan dituduh tidak membawa semangat Islam yang mana sebahagian besar ahli-ahlinya beragama Islam.

Kamikazee dalam PAS dijangka akan terus berlanjutan sehinggalah Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar memohon maaf secara terbuka kepada Dr Hassan Ali atas dakwaan melulunya. Hassan dikatakan sengajar menyerang PAS kerana tidak selesa dengan keputusan yang diambil dalam muktamar tersebut. Apakah benar “negara berkebajikan” yang hendak dibentuk oleh PAS itu merupakan persetujuan sebulat suara mereka yang hadir, atau hanyalah berupa cadangan oleh Presidennya dan kemudiannya disahkan oleh para perwakilan.

Jika diteliti secara serius, jelaslah bahawa “negara berkebajikan” bukanlah merupakan keputusan sebulat suara para perwakilan. Ia adalah sebuah keputusan yang mengesahkan cadangan presiden sehingga Mursyidul Am PAS sendiri tidak banyak mengulas mengenai perubahan prinsip itu. Mursyidul Am PAS hanya melontarkan pandangan bahawa kebajikan itu bukan bermakna kebendaan semata-mata, ia meliputi persoalan ibadat dan kehidupan.

Kekaburan makna terus berlaku kerana konsep kebajikan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan hanya bergantung kepada ibadat sahaja. Bagaimana kebajikan itu boleh dibudayakan kalau sejak mengambil semula Kelantan pada tahun 1999, PAS tidak dapat memenuhi keperluan sebahagian besar rakyat negeri itu. Bahkan, untuk mengalirkan paip ke rumah-rumah bagi membolehkan rakyat dapat minum air bersih parti itu tidak mampu, sedangkan pada tahun 1997 membuat pinjaman berjumlah RM 600 dengan kerajaan persekutuan.

Paip usang tidak selesai digantikan manakala loji rawatan air tidak dibina. Di manakah perginya wang tersebut, sedangkan rakyat Kelantan semakin berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit bawaan air. Rakyat Kelantan telah lama menderita dalam perkara itu, tetapi, Mursyidul Am PAS kata kita perlu menerimanya dengan sabar dan bolehkah setiap orang menganggapnya sebagai takdir.

Persoalan serang menyerang dalam PAS turut berlaku apabila salah seorang anak Mursyidul Am PAS sendiri, Nik Abduh mula mengkritik pedas sikap akhbar harakah. Dari kritikan itu jelaslah bahawa harakah bukanlah sebenarnya merupakan akhbar rasmi PAS, ia hanyalah satu bentuk akhbar yang ditaja oleh beberapa orang tertentu dalam parti itu sebagai bentuk perniagaan.

Sebagain sebuah entiti perniagaan, konsep dan orientasi akhbar harakah banyak tertakluk kepada pihak yang sebenarnya memilikinya. Tuan punya akhbar harakah sebenarnya bukanlah mempunyai jiwa PAS yang tulen, maka dari perspektif itulah ramai kumpulan ulamak yang mendokongi parti itu mengeluh, tidak diberikan liputan yang adil.

Apa gunanya harakah turut menyerang Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang telah kecundang untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden di tangan “tukang karut” terkenal, Mohamad Sabu. Mohamad Sabu merupakan kumpulan erdogan, yakni yang cuba mengadunkan pengetahun sekular ke dalam PAS agar dapat disuaipadankan dengan kehendak DAP dan PKR.

Mat Sabu akan akur dengan DAP kerana Lim Guan Eng telah memberikannya peluang sebagai lembaga pengarah Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang. Kedua mereka turut memberikan pengakuan pernah bersahabat baik ketika dalam tahanan di Kemunting, Perak apabila terlibat dalam Operasi Lalang. Mat Sabu sudah tidak popular lagi di Kelantan setelah memberikan aib yang besar kepada PAS apabila terjebak dengan skandal dengan isteri seorang peniaga dan penyokong PAS.

Paling menyedihkan sejak terjebak dengan kedunguan fakta sejarah, Mat Sabu akan terus dinilai sebagai liabiliti kepada parti itu dan bakal menyebabkan lebih ramai lagi yang akan keluar parti. Memangnya seperti diduga, kemenangan Mat Sabu sebenarnya ada kaitan dengan keinginan kumpulan erdogan untuk mempengaruhi perjalanan parti itu untuk tempoh seterusnya, khususnya bagi merealisasikan keinginan terbesar Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam serang menyerang yang bakal merombak kepercayaan ramai kepada PAS, nampaknya budaya kamikazee akan berlaku dalam parti itu sebagaimana sekumpulan mereka yang marahkan Datuk Asri membuat desakan sehingga berlaku perpecahan. Ketika itu PAS berpecah kepada tiga, kumpulan yang setia kepada Datuk Asri ikut bersama menubuhkan HAMIM manakala sengketa dengan Haji Mohamad Nasir mengakibatkan terbentuknya BERJASA. Sekumpulan yang masih kuat mempertahankan PAS termasuk Mursyidul Am PAS, terus menerajui parti itu sehingga dilihat mampu melenyapkan HAMIM dan BERJASAakhirnya setelah kedua-dua tokoh tersebut meninggal dunia.

Keadaan yang sama mungkin turut berlaku kepada PKR. Parti itu mempunyai asas perjuangan yang terlalu terikat dengan dendam peribadi, akhirnya akan berakhir dengan kehampaan. Walau pun kini, Anwar berjaya mengepong pemikiran sebahagian peminatnya, keadaan itu akan berubah apabila semakin banyak pembohongan yang dilakukan dapat dibahaskan secara lebih mendalam dengan mendesak pengakuannya.

Dengan memaksa Anwar memberikan pengakuan, kita boleh menonton dalih yang bakal diambil kerana pembohongan sebelum ini masih belum dapat memberikan bukti bahawa beliau sebenarnya seorang yang jujur, ikhlas dan berjuang atas kepentingan rakyat. Beliau semakin tidak dipercayai kerana semakin sehari semakin jelas perjuangannya adalah semata-mata untuk membalas dendam ke atas Tun Dr Mahathir yang pernah suatu ketika menatangnya bagai minyak yang penuh.

Serang menyerang antara Anwar dan Tun Dr Mahathir mengenai permohonan mendapatkan pinjaman Bank Dunia boleh menyebabkan imej sebenar Anwar akan terselongkar ke kedudukan yang paling rendah. Itupun jika isu itu tidak dialihkan kepada perspektif yang lain sebagaimana pergeseran imej yang akhirnya melakarkan sandiwara dan pembohongan beliau tatkala takutkan Najib mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pada ketika itu, beberapa permainan politik fitnah berkumandang dalam skala besar dan tertekan. Akhirnya, terbongkar dengan sendirinya apabila pihak yang dijadikan “kuda tunggangan” tidak lagi mampu berbuat sebagaimana diinginkan. Kerana maruah dan takutkan dosa, mereka berani tampil memberikan pengakuan, mereka sebenarnya telah dipaksa dan didesak untuk melakukan apa sahaja asalkan dapat mengelakkan Najib menjadi Perdana Menteri. Tuhan akhirnya menentukan bahawa kaedah busuk dan fitnah itu tidak benar, Najib diterima sebagai Perdana Menteri pada awal April 2009. Anwar terus kempunan, maka lahirlah pembohongan-pembohongan yang lain, termasuk cuba merungkaikan hubungkait 1Malaysia dengan One Israel.

Kaedah politik yang sama sedang berlaku dalam PAS apabila Mahfuz dan Mustafa Ali bertindak sebagai panglima perang menyerang Dr Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa. Jika benar kedua mereka mempunyai bukti mengenai apa yang berlaku pada suatu malam dalam bulan Ogos lalu, dedahkanlah untuk pengetahuan umum, sekurang-kurangnya masyarakat dapat menilai siapakah sebenarnya yang akan melakukan tindakan kamikazee dalam kalangan pemimpin PAS sebelum bermulanya kempen Pilihanr Raya Umum ke-13 sebenarnya.

Kalau Mahfuz dan Mustafa hanya sekadar membuat dakwaan sebagaimana pernah mereka syaki adanya pengundi hantu dan mendakwa persengkongkolan Jabatan Pendaftaran Negara dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Terengganu semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu setahun lalu, maka kelibat yang sama akan mengukir watak sebenar kedua tokoh tersebut. Akhirnya, kedua mereka tidak lagi mempersoalkan “pengundi hantu” apabila PAS menang di Kuala Terengganu. Kenapa isu itu hilang? Jawabnya mudah, isu itu sebenarnya bahan propaganda untuk menakut-nakutkan pengundi, hampir sama dengan propaganda “undi PAS masuk syurga.”

Kaedah yang digunakan oleh Mustafa dan Mahfuz itu sebenarnya sebaran fitnah untuk membunuh kepercayaan orang terhadap Hassan Ali dan Nasharudin. Tetapi, sayangnya Mustafa dan Mahfuz telah melakukan kesilapan yang besar, semakin menyerang Hassan Ali dan Nasharudin, semakin memburukkkan lagi situasi, damage control yang gagal.

Hassan akan tetapi dilihat sebagai seorang yang komited dengan Islam, kerana PAS tidak pernah memberikan dokongan tatkala beliau berhadapan dengan serangan politik DAP ketika memimpin dan menasihat JAIS dan MAIS berhubung dengan penyakatan tindakan merendah-rendahkan akidah umat Islam.

Nasharudin akan menjadi lebih tergilap kerana “konsep perpaduan” yang ditakuti oleh ramai pemimpin PAS, DAP dan PKR akan terus mengalir kerana beliau sebenarnya amat yakin, selagi tidak ada penyatuan antara Melayu-Islam selagi itulah perjalanan masyarakat Islam akan terus bergeser dengan penyahan nilai. Mustafa dan Mahfuz sebenarnya sedang merancang untuk melancarkan perang terhadap Hassan dan Nasharudin kerana ingin dilihat sebagai “hero tua” yang bangkit semula setelah sekian lama parah dan kehilangan taring.

Itulah gambaran yang boleh dilihat berdasarkan rentak dan kelibat kedua mereka, seharusnya antara mereka perlukan perundingan tertutup bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat, dan bukannya serang menyerang. Serang menyerang menimbulkan politk kamikazee, dan akhirnya jong yang dimegahi oleh juragan akan pecah juga dek kesilapan membuat tanggapan, yang dikenali sebagai blind spot. Itulah blindspot yang tidak disedari oleh pucuk pimpinan sekarang, kerana emosi menyerang seperti singa lapar membuak-buak.

Oleh: Monosin Sobri.

Anda berminat dengan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Powered by WordPress | Designed by: Dog Groomer | Thanks to Assistant Manager Jobs, Translation Jobs and New York Singles